Sunday, October 25, 2009


Ramai di antara kita pada masa sekarang tidak mengetahui bagaimana tali pinggang mula diperkenalkan. Manusia pada zaman lampau telah menggunakan akar kayu, rotan dan jerami untuk mengikat cawat, seluar dan kain di pinggang. Lama-kelamaan ia diubahsuai mengikut keadaan semasa sehingga bertemu bahan lain sebagai gantinya.
Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, pokok terap menjadi pokok yang teragung sekali kerana kulitnya boleh dipelbagaikan seperti membuat cawat, tali pinggang, tali busur, tali jerat, pengikat dan sebagainya. Sebaik sahaja kain kasa diperkenalkan wanita Melayu, Nyonya dan India telah menggunakannya sebagai kain bengkung atau sembelit. Orang Melayu kemudiannya menambahkan kain bengkung ini dengan kepala tali pinggang yang disebut pending. Sebaik sahaja pending mendapat sambutan daripada masyarakat umum dan peranannya dirasai, pencipta pending telah memperbaiki sembelit dan bengkung kepada apa yang dipanggil sekarang tali pinggang.
Pada mulanya tali pinggang terdiri daripada jalinan logam, besi, tembaga, perak dan juga emas yang berantai-rantai dengan rekabentuk yang leper dan lebar. Pereka-pereka juga menggunakan duit-duit syiling perak yang dirangkaikan di antara satu sama lain sehingga cukup panjangnya mengelilingi ukuran perut pemakainya. Tali pinggang duit merupakan yang paling istimewa sekali pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Malah ia tetap disukai ramai sehingga sekarang, terutama bagi penduduk di Sabah dan di Sarawak. Wanita Sarawak dan Sabah menggunakan tali pinggang seperti ini untuk dipadankan dengan pakaian kebangsaan mereka. Manakala di Semenanjung pula tali pinggang duit hanya popular di Kelantan, Terengganu dan Melaka. Tali pinggang jenis ini masih boleh didapati sekarang tetapi bilangannya sedikit kerana kesulitan mendapatkan duit perak.
Ada juga tali pinggang yang ditempah khas dengan menggunakan suasa dan emas; ini bolehlah dikatakan terhad dan penggunaannya tertumpu di kalangan pembesar negeri yang mampu sahaja. Setakat ini hanya ada beberapa contoh yang dapat diketahui pemiliknya. Sehubungan dengan itu, tali pinggang sekarang telah direkabentuk dengan menggunakan berbagai-bagai ragam hias yang menarik dan mampu dibeli oleh orang ramai. Tali pinggang juga telah direka dengan menggunakan berbagai-bagai bahan seperti jerami yang disusun dan dianyam indah, kulit binatang yang lembut dan sebagainya. Manakala tali pinggang tradisional kini telah menjadli rebutan para hartawan untuk dijadikan sebagai bahan yang disifatkan sebagai himpunan harta kerana tali pinggang perak dan emas mahal harganya dan boleh digunakan sebagai cagaran.


Sumber dipetik dari http://malaysiana.pnm.my/ dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk "Barang Kemas Melayu Tradisi" oleh Mohd Kassim Haji Ali.